Friday, September 2, 2011

Aduhai Mata


Mata adalah satu pancaindera paling penting. Menerusi mata kita dapat melihat dan menatap segala kejadian alam. Bagaimanapun, mata juga adalah pintu pertama dimasuki syaitan.  Tujuan utama dijadikan mata ialah untuk merenung kejadian alam semesta ini (tanda-tanda kebesaran Allah). Alam terbentang ini yang ditatap oleh mata setiap hari adalah untuk memberi fikiran kepada manusia.
(1) Rasulullah bersabda: "Melihat kecantikan perempuan itu adalah panah beracun daripada panah-panah iblis. Siapa yang dapat mengawasi matanya, maka Allah akan memberikannya merasa satu kenikmatan ibadat yang membahagiakannya."
(2) Imam Ghazali berkata: "Nasihatkanlah kepada orang mukmin supaya mengawasi pandangan mata mereka."
(3) Imam Bukhari menyatakan dengan mengawasi mata daripada memandang perkara haram ia dapat menyuburkan hati untuk melakukan ketaatan kepada Allah. Orang yang beriman sentiasa menjaga dan mengawal matanya daripada melihat benda-benda haram.
Satu kebaikan orang yang berjaya mengawasi matanya ialah dapat menikmati kerehatan jiwa kerana terselamat daripada rayuan dan kepesonaan yang mengganggu hatinya.
(4) Allah berfirman: "Allah mengetahui pandangan mata yang tidak jujur dan apa yang disembunyikan di dalam dadanya." (Al-Mukmin: 19).
(5) Allah berfirman : "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai." (Al-Araaf : 179).

Sama-samalah kita berusaha menjaga dan menggunakan mata sebaik-baiknya.

No comments:

Post a Comment